Saturday, December 30, 2017

Bulan Buku: Disember 2017

Kerana buku ini buku terbaik, akhirnya saya beli juga. Dengan dialih bahasa sebanyak 32(betulkan...kalau saya salah fakta)bahasa di dunia, siapa yang dapat menyangkal betapa bagusnya Laskar Pelangi, karya Andrea Hirata. 

Filemnya juga sangat bagus. Antara filem yang punya tampilan istimewa dihati saya. Insya-Allah, akan lengkap ke semua 4 siri. Baiklah, ini boleh saja jadi azam comel. Cing!

Kali ini pasti. Laskar Pelangi jadi buku penutup Bulan Buku 2017. Maaf Jibam, saya mungkir bahagia. Sampai jumpa, Bulan Buku 2018.

Wednesday, December 13, 2017

Bulan Buku: Disember 2018

Buku yang paling aku nantikan dua tahun kebelakangan ini. Akhirnya, berjaya dimiliki. Terima kasih, Projek Buku. Aku anggap ini hadiah harijadi. Bahagia. Senyum sabit mata menyepet.


Sayang, filemnya tidak mendapat sambutan sejak ditayangkan 7 Disember lepas. Aku sendiri belum berpeluang menontonnya. Pawagam di Keningau tidak menayangkan filem ini. 


Novel, karya Ujang atau Ibrahim Anon. Novel ini sangat terkenal awal tahun 90-an dulu. Aku bangga dapat memilikinya sekarang. Namun, aku lebih gembira kalau dapat memiliki cetakan pertama novel ini. Iya, aku terlambat tahu kewujudan novel Jibam. Sebagai peminat majalah Ujang dan Gila-Gila, aku rasa ini satu kerugian. Ah! apalah daya waktu tahun 90an dulu. Kalau tahu pun, mana mampu membelinya. Majalah Ujang pun, aku mampu beli sekitar awal 2001, zaman belajar dekat Maktab Perguruan. Itu pun yang terpakai. 


Baiklah. Aku gembira. Buku penutup Bulan Buku 2017. Terima kasih, Allah...atas kurnia rezeki.

Saturday, December 9, 2017

Bulan Buku: Disember 2017

Lengkap sudah koleksi Tombiruo. Senyum sabit mata mnyepet. Terima kasih budak hijau dan bunga dahlia. 



Tuesday, December 5, 2017

Bulan Buku: Disember 2017

Beli sebab review sedap. Sebuah buku travelog. Tentang kopi. Tentang Jepun. Untuk aku yang tidak beruntung untuk travel keliling dunia, buku sajalah tempat aku mengenal sisi indahnya dunia lain. 


Tuesday, November 21, 2017

Bulan Buku: November 2017

Buku yang sudah lama aku hajat. Alhamdulillah, berkat rezeki comel dari Allah melalui perantara yang comel juga, dapat akhirnya. Terima kasih Budak Hijau. 

Ini buku  Isma Ae Mohamad. Sejak jatuh suka dengan tulisan dia, aku jadi pemburu buku-buku dia. Bermula dengan Republik Sungai Golok, Anak-Anak Karen, Raja-Raja Patani, aku mula mencari buku-buku tulisan terawal dia. Terutamanya buku ini. 

Bulan April lalu waktu PBAKL, aku minta pertolongan Budak Hijau cari buku ini. Sayangnya, tidak ada. Waktu aku tanya keberangkalian untuk mendapat buku Laskar Cinta, kata Budak Hijau, tipis.

Nah, bulan ini hajat itu dimakbul Tuhan. Gembira gila bila Budak Hijau PM lewat Mesenger. Comel betul rezeki bulan November. Senyum sabit dan mata menyepet.

Baik. Akan baca setelah Manikam Kalbu. Buku Faisal Tehrani.

Hitam

Bungkusan hitam sampai. Senyum semula setelah insiden garis hitam merosak hariku. 
Aku tidak pasti siapa yang tega menggaris Punch Card(masa kehadiran jam 6.20 am) aku dengan garis hitam(baca: pen hitam). Tidak mahu menuduh. Aku lebih suka mengingatkan mungkin aku yang tergaris sendiri. Apapun, waktu punch-out tadi dan melihat garis hitam itu, aku betul-betul sedih. Baik aku berdamai dengan perasaan sendiri. Tidak perlu alasan untuk sedih. Aku layak untuk rasa gembira hari ini. Caw!

Friday, November 3, 2017

Bulan Buku: November 2017

Sambungan buku 'Awek Chuck Taylor'. Target 50 buah buku sudah tercapai dengan sampainya buku ini. Alhamdulilah. Bulan buku 2017 akan tetap diteruskan. Senarai sudah ada, duit saja yang tiada. Tunggu gajian. 







Sunday, October 29, 2017

Untuk

Untuk hidup yang penuh getir
Bukan untuk didikir
Tapi untuk difikir

Baik

Benarlah. Membaca karya tuan Bahruddin Bekri tidak pernah gagal memberi motivasi, tidak pernah gagal memujuk untuk terus melakukan hal yang baik-baik. Menerima yang baik-baik. Berfikir yang baik-baik. Mengurus hati ini kerja payah kalau tidak kenal akar budinya. 

Jalan terus. Cinta ada di depan. Tidak dia menunggu tapi; tidak pernah dia lupa memberi ruang seluas langit.

Keehoi. Haiyalah.

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan hari ke-8 Karnival Buku Keningau. Hari terakhir. Entah bila lagi karnival buku macam ini akan diadakan di Keningau. Sengaja tidak pergi hari terakhir. Buku ini aku minta adik aku tolong beli. 


Sampai jumpa lagi Karnival Buku Keningau.

Saturday, October 28, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan hari ketujuh Karnival Buku Keningau. Saya beli kerana buku ini terkenal. Cetakan ke-12 pada tahun 2015. Kisah sebenar penulis. Sebut sahaja, Awek Chuck Taylor, pasti peminat buku tahu kalaupun tidak semua. 
Sempat berperang dengan hati tadi. Hajatnya, hendak beli buku Seyogia. Akhirnya, terpaksa pendam dulu. Insya-Allah, akan beli pada November. Dalam perancangan, sudah ada 4 buah buku buruan.

Tuesday, October 24, 2017

Karnival Buku Keningau 2017 Hari Ketiga: Kenangan itu Kerinduan

Hari ini ke bual bicara buku bersama Pak Latif. Pelajar daripada SMAN dan Pusat Tahfiz Ar-Rahman sebagai jemputan. Sesi soal-jawab meriah sungguh. Para pelajar tidak segan bertanya soalan. Ada hadiah disediakan penganjur berupa buku. Dengki sangat.  Saya pasti hadiah itu disediakan khas untuk pelajar yang bertanya soalan. Ada satu pelajar Tahfiz yang saya suka soalannya. Dari cara dia mengutarakan soalan, pendapat dan perasaannya pada buku-buku Pak Latif, amat berbeza dengan pelajar yang lain. Saya gak dia seorang pelajar pintar.




Dapat tandatangan Pak Latif dan berbual dengan beliau buat saya senyum dan gembira. Pak Latif sopan santun bahasanya. Pengalaman beliau tidak ternilai harganya. Semoga Allah mempermudah urusan rezekinya, kesihatan dan ilham berterusan. Biar beliau terus dapat berkarya. Orang baik disayang Tuhan.



"Ini buku Pak Latif"?
"Iya, buku saya. Dapat dari mana?"
"Dari reruai DBP. Saya ada terbaca satu blog, dia senaraikan 100 buah buku yang harus dibaca. Salah satunya buku ini".
"Buku Merentas Ranjau?"
"Iya, Pak Latif"
"Boleh saya bergambar dengan Pak Latif?"
"Ya...ya...boleh"


Setelah berbalas ucapan terima kasih dan mendoakan kesihatan beliau saya meminta diri. Katanya,

"Semoga berjumpa lagi"

Hari yang sangat berbaloi-baloi. Hari yang menerbit senyum bulan sabit. Ditambah dengan mesej daripada poslaju. Kenapa tidak?

Kenangan itu Kerinduan. Program begini di Keningau bukan selalu datang. Entah-entah lima tahun selepas ini baru ada lagi. 

P/s: Harap-harap team Tombiruo datang buat roadshow di sini. Inikan Keningau. Tempat kisah itu bermula.


Bulan buku: Oktober 2017

Dapatan hari ketiga, Karnival Buku Keningau. Saya dapat tandatangan Pak Latif untuk buku 'Merentas Ranjau'. Hari yang berbaloi-baloi.
Trilogi Tombiruo. Sebenarnya, saya cuma perlu beli dua lagi buku daripada trilogi ini. Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. Tapi, sengaja saya beli tiga, sebab buku  Tombiruo: Penunggu Rimba, hendak saya hadiahkan pada sahabat saya, Fatine. Katanya, mahu membaca buku ini. Harapnya, dia belum beli lagi. Iya, filem Tombiruolah punca saya beli trilogi ini. Ikutkan, hendak beli tahun depan, waktu PBAKL 2018. Ceh!
Yang berbalut itu: Tombiruo: Penunggu Rimba. Hadiah buat Fatine.




Monday, October 23, 2017

Karnival Buku Keningau 2017: Hari Kedua

Hari paling berbaloi buat saya. Dapat ke bual bicara buku bersama Tuan Abednigo Chow YS. Saya lupa nama penuh beliau. Yang saya ingat, ada Y dan S untuk nama keluarganya. Beliau, menulis buku mengenai Keningau. Sayangnya, saya tidak mengambil gambar buku itu. Rasa segan membantut keinginan. Harapnya penulis dan bukunya datang lagi besok. 

Bicara buku bersama beliau hari ini dalam masa yang agak singkat bagi saya, berjaya membuat kami menelusuri Keningau semasa era penjajahan British, kedatangan jepun dan pasca penjajahan. Kamu mahu tahukah? (Ini ayat beliau(dalam loghat Sabah), sebagai mengajuk cara orang-orang tua dahulu ketika bercerita kepada beliau perihal Keningau). Banyak dokumentasi mengenai Keningau malah artifak juga; ada tersimpan di Australia. Malah, ada satu bangunan khas untuk menyimpan dokumen mengenai Keningau di sana(saya lupa banngunan apa). Kata penulis, sekarang dokumen2 itu sudah banyak yang didigitalisasikan, namun masih ada dokumen yang masih tersimpan di dalam galeri dan hanya boleh diakses dengan membuka sendiri dokumen tersebut dan membacanya(membuat salinan misalnya). 

Melihat keningau semasa zaman penjajahan melalui rakaman berwarna tanpa suara(penulis ambil daripada arkib di Australia); dengan kesucian hutan, balak sebesar 5 pemeluk lelaki dewasa(anggaran saya), dengan usaha askar Australianya, warga yang sedikit naif, saya kira ia menerbit makna dalam hati. Terbau ironi dengan kemajuan yang boleh dibanggakan sekarang. Ledakan ironi menjemput bau itu menekan hati saya, mengingat apa yang  Keningau pernah ada satu masa dulu. Yang kalau dikekalkan, mungkin membawa makna lebih besar(kalaupun tidak semua mahu menghargainya). Generasi kami tidak lagi dapat membaunya, sisa pun sudah mampus dibunuh kapitalis). 

Sempat kami memberi tepukan, apabila penulis anak jati Keningau ini, bila dia berjanji akan menterjemah naskhah hebat beliau(4 tahun kajian) ke dalam bahasa melayu. Agar lebih ramai yang dapat menikmatinya. Saya tahu, ramai pencinta buku orang Keningau yang sanggup membelinya biar semahal apapun harganya. Saya sendiri misalnya. 

Ah! Tiba-tiba sahaja, saya mahu ke Australia. Menjejak bangunan itu(saya lupa penulis menyebutnya sebagai apa tadi) yang di dalamnya tersimpan sejarah daerah kelahiran saya. Banyak sejarah Keningau yang tidak ada di arkib Sabah tapi ada di Australia(di bangunan yang saya lupa namanya). Selalu saya bilang pada kawan-kawan, saya tidak boleh hidup selain di keningau dengan tenang. Ah...Naif!

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan hari kedua, Karnival Buku Keningau. Esok tidak mahu beli buku lagi. Cukuplah buku untuk bulan Oktober. Stok duit makin terhad. Sardin King Cup pun sudah mahal sekarang. Apa kes?
Tujuan utama hari ini mahu ke bicara buku Pak Latif. Tapi saya tersalah tarikh. Slot bual bicara bersama Pak Latif akan diadakan esok petang. Nampaknya, saya bakalan tertinggal bual bicara slot Tuan Nazry Salam dan Tuan Ahmad Syahmi. Esok, mahu dapatkan tandatangan Pak Latif untuk buku Merentas Ranjau. Sebuah buku lama beliau, terbitan DBP tahun 1993. Insya-Allah. 
Ya! Dalam begitu banyak buku sejarah tulisan beliau, saya pilih buku lama yang sudah kekuningan dan saya beli dengan harga RM3.00 sebab saya rasa ia sudah jadi buku langka. Mahu lihat juga reaksi Pak Latif, bila nanti saya berpeluang meminta tandatangannya. Jadi, kenapa tidak?


Tadi, saya dapatkan tandatangan pekomik femes, Nazry Salam dan Ahmad Syahmi.  
Cekau 3 komik. Misi Tahfiz, Lawak Gadis Komik dan Dunia Kartun. Pilihan ketiga-tiga komik ini bersebab. Pertama, Misi Tahfiz: kerana pelukis dan penulisnya ada di sana. Boleh saya minta tandatangan mereka. Lawak Gadis Komik: kerana watak gadis dalam cover mencuit hati saya. Macam jajal. Dunia kartun: ia mengingatkan saya pada majalah UJANG. Saya senyum lihat cover komik ini. Jadi kenapa tidak?
BRADER, KITA MESTI TERUD HIDUP! Saya sudah lama usha buku ini. Cuma hajat itu, saya simpankan dulu dan apabila kembali ke karnival ini, saya terus beli. Mahu tahu apa shit yang pernah terpalit(dia palit) zaman Tok Mat jadi menteri penerangan. Masa isu rambut panjang para rockers, saya ingat lagi live dalam tv, Tok Mat gunting rambut Awie dan Amy. Memori itu terakam dalam otak, jadi; saya mahu tahu betul cerita sensasi itu dari tulisan Nasir Jani. Dia  terlibat dalam pembikinan filem Tombiruokan. Jadi kenapa tidak?
Buku Gantung, Nadia Khan saya beli kerana review sedap. Kenal buku ini dari buku Asrama: Muhammad Fatrim. 
Untuk hari kedua ini, apa yang saya kecewa, (1) penjaga reruai tidak tahu menerangkan perihal buku. Malah, dia tidak tahu kalau buku Asrama itu ada sambungannya. Penjaga reruai juga tidak membuat promosi untuk menarik perhatian pengunjung. Ya! Saya tahu, pengunjung boleh dibilang dengan jari. Tapi, kan lebih meriah dan; paling penting, dari duduk tengok picit hp laungan memanggil mungkin saja boleh menarik pembeli kan? Atau bila pengunjung datang, bagilah cadangan buku apa yang bagus dan berbaloi untuk beli. (2) jumlah pengunjung. Masih boleh dibilang dengan jari. Ya, ini hari bekerja. No doubt! Saya harap, warga keningau turunlah. Sokong program ini. 



Sunday, October 22, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan dari Karnival Buku Keningau. Hari pertama.
Ke reruai buku-buku lama DBP, jumpa buku Senjakala. Sudah lama berhajat mahu beli akhirnya jumpa di sini. Pertama kali baca masa tingkatan empat. Pinjam buku senior. Memang rezeki betul. Terima kasih Allah, memakbulkan hajat lama. 
Masa PBAKL 2016, mahu beli tapi disimpan dulu dengan niat akan beli secara online saja tapi asyik tertangguh. Jadi, hari ini, nampak saja terus beli. Mahu lunaskan hajat. Lagipun, review sedap. Antara buku laku keras Dubook Press PBAKL 2016. Kenapa tidak? 
Buku Tuan Bahruddin Bekri. Buku pertama yang aku beli di karnival comel ini. Sebagai peminat karya beliau, saya beli. Buku merah jambu, tajuk sendu, sekali lagi, kenapa tidak. Ironi betul dengan status saya. Ceh!
Buku ini saya beli kerana kontroversi yang pernah tercetus. Buku yang membuatkan prahara di Pesta Buku Indonesia. Sekali lagi kenapa tidak? Untuk cerita lengkap, google sendiri. Lihat pada tajuk saja sudah boleh menimbulkan spekulasi. Kah!kah!kah! Kenapa gelak? Saya juga bingung.
Kalau ada yang bertanya pada saya tentang buku mana yang bagus, bagi saya(baca:jawapan),; semua buku punya magis yang tersendiri.

Karnival Buku Keningau 2017

Karnival Buku Keningau. Syukur Alhamdulillah. Akhirnya, ada juga karnival buku diadakan di daerah tercinta saya ini. Tahniah buat semua penganjur: DBP di bawah Sandapak Enterprise, Perpustakaan Wilayah Keningau dan penganjur lain. Tahniah juga buat PTS Media Group yang turut serta dalam Karnival Buku Keningau 2017 .

Rindu dengan bau dan atmosfera ini. Siap saja RPH tengahari tadi, terus bersiap. Sampai tapak karnival, orang tidak ramai tapi tidak juga sunyi sepi. Biarpun bilangan yang datang masih boleh dikira dengan jari, saya masih merasa meriah. 
Esok hari perasmian, saya jangka akan lebih ramai pengunjung lagi. Kecewa juga, tuan Bahruddin Bekri tidak turun ke karnival ini. Insya-Allah mahu bergambar dengan Pak Latif. 
 
Hasrat mahu berada di karnival ini sepanjang seminggu. Mengikuti bual bual bicara mana yang sempat lepas balik kerja. Tiba-tiba saya hargai sangat, masih single dan kerja cikgu...hehehe! Kena pula masa ABC, memang cun sangatlah. Syukur Alhamdulillah. Bahagia jiwa. Dapatlah berlama-lama di karnival ini tanpa resah.
Kecewa juga dengan harga dan buku yang ditawarkan. Kalau dijual ikut pakej, RM50 3 buah buku misalnya, pasti pembeli akan teruja. Sayang, tiada pakej begitu ditawarkan. Buku-buku yang ada, tidak banyak pilihan tapi masih berbaloi dan sedap. Ada reruai buku Fixi dan Thukul Cetak. Buku haram pun ada...'wink'. Nazi Goreng. Buku Komunis pun ada. Manifesto Komunis. Keehoi! Siapa tahu esok-esok mereka tawarkan buku dengan harga pakej, dalam otak sudah tersedia buku pilihan.

Sempat rembat empat buah buku. Paling gembira, bila jumpa buku Senjakala. Biarpun cover baharu dan terbitan 2015, sudah cukup buat saya senyum bulan sabit.

Harapan saya agar karnival ini diteruskan lagi tahun depan atau paling kurang 2 tahun sekali. Mungkin...betapa saya mahu menjadi salah seorang sukarela di karnival ini. Pergh! Tak padan dengan tua...hahaha!

Bah orang Keningau. Mari kita kasi ramai.

Tuesday, October 10, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Hal yang menerbit senyum. Senyum bulan sabit mata menyepet. Hal yang membangkit bahagia. 
Target untuk 50 buah buku berbaki dua bulan saja lagi. 12 buah buku saja lagi untuk capai target. 38 sudah dibeli dan ada 10 buku harus dibaca. Caiyok!

Bahagia kita tidak sama, tidak selari, tidak sama dengan. Kalaupun sama; tapi tidak serupa.

Wednesday, October 4, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Buku-buku Thukul Bersatu. Promosi Jualan Hari Gaji. 5 buah buku RM50. Sampainya buku ini menerbit senyum bulan sabit. Seperti yang pernah kukatakan, bahagia kita tidak sama tidak selari tidak sama dengan. 



Monday, October 2, 2017

Saguhati

Hadiah saguhati penyertaan puisi anjuran Buku Terpakai. Ketaralah tak menang...kan! Ini pun sebab adminnya bermurah hati hendak bagi hadiah buku, saguhati untuk semua peserta. Rasa dihargai juga walaupun tak menang. 


Teringat tahun 2015, waktu surat cinta aku terpilih untuk dimuatkan dalam antologi "Surat Cinta Yang Tak Tersampaikan Lagi". Gembira tak terucap. Terkejut sebab, ingatkan tak diterima setelah 2 bulan lebih sedikit tanpa khabar berita. Kiranya, itu sajalah pencapaian terbaik aku dalam hal tulis2. Keehoi!

Tuesday, September 26, 2017

Bulan Buku: September 2017

Jatuh suka dengan buku penulis ini setelah baca buku dia, Budak Meja Belakang(Aku rekomen penuh korang baca buku ini). Aku jejak penulis di internet untuk tahu kalau-kalau dia ada buku yang lain. Ternyata ada. Jadi, aku buru buku dia. Stalk FB sampai dapat beli buku ini. Buku kedua dia. Sebuah novel grafik tanpa perkataan. Langsung tiada. 

Buku kedua Shah Ibrahim
Akan beli buku pertama dia pada oktober. Semoga Allah mempermudah urusan dan rezeki buat aku.

Aku harus berterima kasih pada 3 nama yang mengenalkan aku kepada buku2 dan penulis2 yang bagus. Aku akui aku ketinggalan tahu fasal kewujudan rumah penerbitan selain dari Alaf 21 dan Creative. Naif betul.

Setelah bosan yang amat dengan buku cintan-cintun syukur Tuhan mnemukan aku dengan Amirul Mohammad. Kira dia ini trigger. Daripada dia, aku kenal buku2 Bahruddin Bekri( yang suka aku gelar sebagai Tuan BB). Terus jadi peminat karya beliau.

Orang yang membolehkan aku mendapat koleksi pertama buku Tuan BB ialah Zulieqah. Dia tolong aku berurusan dengan pembelian buku secara online. Dia yang kenalkan aku pada buku2 Kak Su, penulis buku Surat Ungu Untuk Nuha, Jajs & Din. Dia juga yang kenalkan aku lada Hlovate, Rooftop Rant. Dia juga yang ajar aku baca buku BI genre sci-fi. Dialah yang membawa aku ke PBAKL 2016. Tidak akan aku lupa kenangan itu.

Seterusnya, aku mula kenal dengan banyak lagi rumah penerbitan lain yang menampilkan begitu banyak buku2 dan penulis2 yang bagus2 melalui Khair Zawawi yang pada mulanya atas syor Tuan BB. Kerana dia jugalah, aku akhirnya dapat buku AKU yang lama dihajat selepas AADC yang aku beli melalui Mutalib Uthman. Dapat baca buku Andrea Hirata dan dapat baca buku Kunang Persisir Morten. Kalau saja tidak kenal dengan dia waau cuma dalam FB, aku pasti tidak jumpa dengan buku2 yang bagus2 ini. Anak muda yang punya bisnes sendiri dan penjual buku yang bagus. Servis tip-top. Sehingga sekarang, aku banyak berurusan buku dengan dia. Hampir ke semua buku aku, beli daripada dia.

Terima kasih kepada 3 figura ini. Yuk, Membaca kita. Saling menghargai dan meraikan keanehan. Kitakan punya keanehan sendiri. Mengakun kau sana.

Monday, September 18, 2017

Mak Baca Buku

Dua minggu yang lalu, aku bagi mak baca buku Anak Mat Lela Gila. Aku tanya pendapat mak dan mak kata buku itu tidak best. Kata mak, hendak menerangkan maksud bulat pun terlalu panjang. Aku pandang mak sambil senyum. Aku terangkan pada mak, buku itu tinggi nilai sasteranya. Hendak membacanya kenalah dengan menerangkan hati. Mak diam selepas itu dan dia teruskan bacaan. Sebelum itu mak baca buku Kunang Persisir Morten. Aku beli tahun lalu waktu PBAKL. Waktu tegur mak fasal baru tahun ini dia baca buku itu, mak senyum. Esoknya mak terus tanya, ada lagi buku kau. Minat baca buku aku waris daripada mak agaknya. Mak ada buku Interlok dan Arena Wati: Koleksi Cerpen Pilihan dan banyak judul lain. Aku belikan mak buku 'Lelaki Berkasut Merah'. Aku bagitahu mak buku ini lucu. Penulisnya sangat bagus. Soal pengajaran, biar mak nilai sendiri. Mak aku lebih pandai daripada aku soal begini. Mak aku masak sedap. Terniat juga hendak bagi mak baca buku 'Nasionalisme Longkang' dan tanya pendapat mak dari sisi rebel. Keras dan melawan.

Sunday, September 10, 2017

Target

Untuk capai target, aku susun semula buku tahun 2017. Rupanya...

Setakat September 2017, aku ada 27 buah buku dan baru 20 buah buku yang dibaca. Terlalu sedikit. Target tahun ini 50 buah buku. Kena beli 23 buah buku dan kena baca 30 buah buku. Entri ini pun bertujuan untuk memudahkan aku membuat pengesanan. Mana yang dibeli tahun 2017, sudah dibaca dan belum dibaca.
Buku setakat September 2017
27 buah
Buku sudah dibaca
20 buah
Buku belum dibaca
7 buah

Harapnya, target tercapai. Bah, baca kita.




Monday, August 28, 2017

Bulan Buku: Ogos 2017

Gembira ganda puteri. Eh! Ganda Puteri dalam silat ek? Mentang-mentang Sukan Sea KL 29. Jam 12 lebih sedikit dapat mesej daripada Poslaju. Buku Pelaris sampai. Sempat bertanya dengan orang kaunter perihal buku lagi satu. Tapi kata dia, belum sampai. Aku tanya lagi kemungkinan buku itu sampai hari ini. Tapi kata dia, esok baru sampai. Sebab buku-buku untuk hari ini semua sudah diambil. Pasrah tunggu esok. Aku terus menapak ke kedai Desa, beli susu segar. Sampai kereta, dapat lagi mesej daripada poslaju. Buku Budak Meja Belakang sampai. Kan...betul tekaan aku. Dua-dua buku sampai hari ini. Cing!