Tuesday, December 31, 2013

Tanpa tajuk

Masa berlalu
Hari bertukar
Tahun berganti
Dan kau, masih mahukah terus di situ?
Jangan...
Perdengarkan derap langkahmu
Tidak perlu mencanang gendang
Cukup; dengan hanya kau berjalan
Dan...
Mereka dengar derap kakimu
Tika melangkah...

P/s: Entri akhir dari tahun 2013.  Baiklah, seperti kebanyakan orang, Selamat Tahun Baharu Masihi 2014.

Saturday, December 28, 2013

Cita-cita

Namanya juga cita-cita, jadi harus digantung setinggi langit.  Biarpun kau cuma mampu mimpikannya dalam tidurmu, sekurang-kurangnya, cita-cita kau itu sudah kau gantungkan di langit, dekat dengan bintang kesukaanmu. Kalaupun nanti tika kau terjaga cita-cita itu hilang bersama mimpimu, sekurang-kurangnya; dalam mimpimu kau merasa sangat bahagia, kau tersenyum, manis sekali.  

P/s: Kerana tingginya langit itu, maka tiada siapa yang mampu menjoloknya sampai ia goyah lalu jatuh ke bawah, , kecuali kau yang mahu ia jatuh.  Tegakah kau? itu cita-citamu.

Wednesday, December 18, 2013

Penolakan halus

Bagi aku, itu satu penolakan halus. Bukan sekali dua terlibat dalam hal penolakan halus begini, sudah berkali-kali. Jadi bila dia mula memberikan alasan itu dan ini, aku mula faham, bahawa itu adalah penolakan halus. Betapa naifnya aku, kerana masih berharap bahawa kali ini penolakan halus itu tidak terjadi lagi. Pura-pura tidak faham tentang penolakan halus itu adalah satu bangang abadi. Malang untuk orang bodoh macam aku.

P/s: sarkasme

Tuesday, December 17, 2013

Entry sengaja: Tanda Sayang dan Sokongan

Mampukah Malaysia mencipta hattrick untuk memenangi pingat emas bolasepak dalam temasya Sukan Sea 2013? Apapun, Malaysia harus menang dalam separuh akhir 19.Disember.2013 menentang Indonesia. Aku positif Malaysia mampu memenangi perlawanan ini, seterusnya menempatkan diri untuk beraksi dalam pentas final sekali lagi. Doa aku, semoga nasib menyebelahi Malaysia.  

Tahniah, Malaysia.  Tahniah para pemain bolasepak Malaysia, tahniah OKS kerana layak ke separuh akhir. Aku harap kelekaan dua minit terakhir sebelum wisel penamat tadi tidak diulangi oleh para pemain terutama pertahanan Malaysia.  Aku juga mengharapkan agar OKS menurun ke-sebelasan utama yang paling kukuh, mampu bertahan dan mampu melakukan serangan berganda untuk meledakkan gol-gol penting negara demi satu maruah.

P/s: aku terlebih emosional, tanda sayang dan sokongan aku untuk bolasepak Malaysia. Sengaja aku menaip entri ini, sebagai kenangan untuk Sukan Sea 2013, apabila Malaysia layak ke separuh akhir. Ibu segala pingat kot...ini misi Malaysia mencipta hattrick dan mempertahankan ibu emas segala pingat.  Cuma aku harap, kali ini Malaysia mampu menghasilkan gol paling cantik untuk menang bergaya kalau layak ke pentas final nanti. Amin Ya Rabbal Alamin.

Monday, December 16, 2013

Banyak

Banyak sebenarnya yang mahu aku katakan pada kau.  Banyak yang mahu aku kongsikan. Banyak yang mahu aku luahkan.  Tapi, semuanya tersekat dikerongkong.  Ia semacam satu beban berat untuk aku katakan, kongsikan dan luahkan.  Aku belum cukup ampuh, belum cukup nyali,  biarlah.  Mungkin, ini takdir aku.  Aku sudah penat, biarlah.

Sunday, December 15, 2013

tentang gila, tentang cinta

Semua kegilaan tentang hidup
pernah tertulis
di dalam buku-buku tebal juga buku-buku nipis
bukan beban bukan rekaan
dan kegilaan terbanyak dalam hidup
dalam cerita sang penulis
adalah tentang cinta
yang berakar-umbi tentang kerakusan manusia
di dalam mengejar cinta
tentang kegagalan mengenal cinta
tentang kegagalan membahagi cinta
tentang khilaf
tentang silap

P/s: Cinta itu subjektif...tanda soal tanpa noktah.


Wednesday, December 11, 2013

BBW

Melihat novel-novel yang tersusun kemas di dalam almari dan di tepi katil sudah membuat saya tersenyum kerana merasa senang, apatah lagi kalau saya berada di BBW. Tentunya, senyuman saya melebar sampai ke telinga.

P/s: Saya sangat dengki dengan saudara/saudari yang berpeluang ke Big Bad Wolf...

Tuesday, December 10, 2013

S.H.J, B. A

Selamat Hari Jadi, buat aku.

Tiada yang aku mahukan pada hari jadi aku ini selain dari kesihatan yang berpanjangan, rezeki yang luas dan umur yang panjang.  Tiada yang aku mahukan pada hari jadi aku ini selain dari kesihatan yang baik buat Mama dan Abah dan juga rezeki yang luas untuk mereka.  Tiada yang aku mahukan pada hari jadi aku ini selain dari kebahagian adik-beradik aku, ipar duai dan anak-anak buah aku yang tersayang.  Tiada yang aku mahukan pada hari jadi aku ini selain daripada kebahagian sahabat-sahabat baik aku.  Tiada yang aku mahukan pada hari jadi aku ini selain dari kebahagian orang-orang yang aku sayang.

Bahagia itu subjektif.

Buat aku,

Teruslah tabah Atie.  Teruslah jadi teguh walau kau sebenarnya tidak pernah seteguh besi itu.  

Mama...
Terima Kasih, kerana melahirkan Atie ke dunia ini.  


Ini hadiah daripada anak buah aku, sangat sempoi tapi aku paling suka...


Friday, December 6, 2013

Tangguh: novel

Satu keluhan berat terhela dari mulut dan hidung, bila aku mengemas katilku kelmarin, membuang habuk pada novel-novel yang berada di tepi katilku, ada rasa sedih melihat 4 buah novel melayu yang masih tertangguh untuk dibaca, 1 daripadanya adalah sebuah novel alih bahasa, yang bertajuk: A Thousand Splendid Sun, selebihnya adalah novel lama yang satu daripadanya adalah novel yang paling aku hargai kerana ia tulisan Arena Wati. Aku pula punya kebiasaan-tabiat tidak suka-tidak mahu skip novel yang aku beli-sudah mula baca.  Senak bila melihat 3 buah novel yang diberi pinjam oleh kawan-kawan yang tahu mengenai minatku ini.  Ada 3 buah novel inggeris yang diberi oleh Miss Liz sebagai dorongan untuk aku yang menggagahkan diri untuk membaca novel bahasa inggeris. Apapun, aku kira ada hikmahnya aku belum menghabiskan novel-novel ini, ianya adalah: aku tidak perlu membeli novel dalam masa terdekat ini.  Aku memang sudah memasang azam, yang aku tidak akan membeli sebarang novel sehinggalah aku berjaya menghabiskan novel-novel yang tertangguh ini.  kasihan pada semua novel-novel aku itu, termasuk novel pinjam atas ihsan kawan-kawan yang punya minat yang sama.

P/s: Sekarang ini, aku tengah membaca novel inggeris bertajuk: Mine To Poses, kerana ia berbahasa inggeris maka, aku terpaksa mengambil durasi pembacaan yang agak panjang, gear 1.

Thursday, December 5, 2013

Entry Khas Untuk Kawan Blogger: Embun Biru

Terima kasih buat kawan blogger


Mira Mairiza si Embun Biru


kerana sudi singgah dan menjadi pengikut blog saya 
yang ke-19


P/s: Adik Mira Mairiza akak dah jadi pengikut blog awak...>__<



Wednesday, December 4, 2013

Widget: Lagu dalam blog

Entri ini untuk memberi kredit paling banyak buat seorang blogger yang comel, Miss B namanya. Aku kira, Miss B inilah yang memberi panduan memasukkan lagu ke dalam blog paling mudah setakat ini.  Tidak perlu memeningkan kepala dengan segala macam panduan-coding yang menyusahkan.  Hanya dalam 5 minit mungkin kurang satu minit blog kalian akan ada lagu-muzik-instrumental yang menjadi kesukaan. Haiyalah....untuk aku yang sangat kurang kemahiran ICT-nya apalagi  menggunakan aplikasi widget segala bagai, aku rasa aku patut ucap terima kasih buat Miss B.




Aku harap dengan adanya widget lagu ini, blog aku tidak menjadi berat dan menyebabkan trafik maya di blog kesayangan aku ini.  Apapun, kepada pembaca senyap-tukang terjah-pengikut blog ini, aku harap kalian suka dengan lagu instrumental yang jadi pilihan aku. Lagu-instrumental ini bertajuk: Love Me daripada Yiruma, berasal dari Korea.

Monday, December 2, 2013

Bingung

Kepalaku bingung
Hatiku bingung
Cinta apa?
Sejati apa?
Bingung...
Apa ertinya cinta
Kalau kau salah menafsir
Apa ertinya menafsir
Kalau kau salah meneka
Jangan jadi bingung
Nanti kewarasanmu hilang
Kaitan apakah ini?

Sunday, December 1, 2013

Kejar Pelangi

P/s: Tujuh warna pelangi, tujuh cerita cinta...

Kejar Pelangi
Kerana ia tidak selalu ada
Di langit juga ia tidak lama
Justeru,
Lari laju
kejar cepat
si pelangi cantik
gapai cermat
jangan terlepas


Nukilan Atie: 14.02.2012

Jalan

Kenapa jalan Neraka itu juga yang kau pilih
Kesialan apakah ini?
Sudah ku beri kau banyak ilham tentang hidup, tentang pilihan
Pernah
Walau barangkali banyak itu bermaksud kurang dari satu
Tapi...
Kau tetap dengan bodoh sombongmu
Mempertahankan ego bodohmu
Sudahlah...
Aku berundur
Jauh dari semua kebodohan maha nyata
Yang sengaja
Dan kau teruslah berjalan