Sunday, March 15, 2009

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka

TERDAPAT BEBERAPA PERBEZAAN KETARA DALAM KARYA2 SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT HANG TUAH MENGENAI KESULTANAN MELAYU MELAKA...

PENGENALAN

Sudah acapkali persoalan mengenai perbezaan di antara karya-karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dilontarkan oleh pelajar menengah atas dan pelajar Universiti[yang mengkhusus dalam bidang sejarah]. Perbezaan yang di maksudkan merujuk kepada peristiwa yang berlaku semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Di dalam teks sejarah Melayu, Hang Kasturi adalah orang yang telah menderhaka kepada Sultan manakala di dalam hikayat Hang Tuah penderhaka Sultan adalah Hang Jebat. Umum mengetahui Hang Jebatlah yang telah menderhaka kepada Sultan berdasarkan cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut, guru-guru silat dan orang-orang tua.
Perbezaan ketara dalam karya-karya Sejarah Melayu ini telah menimbulkan tanggapan, “adakah berlaku pemesongan teks Sejarah Melayu? Pada pendapat kami(kumpulan 7) adalah lebih baik agar perbezaan ini[Karya-karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah] ini dimurnikan iaitu diterangkan dengan jelas latar belakang kedua-dua teks[yang menjadi rujukan wajib pelajar menengah atas dan pelajar Universiti].

MENGAPA TERDAPAT PERBEZAAN YANG KETARA DALAM KARYA-KARYA SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT HANG TUAH MENGENAI KESULTANAN MELAYU MELAKA?

Penulisan teks sejarah Melayu[1] merupakan hasil tulisan Tun Sri Lanang[2] yang lebih menumpukan sejarah asal usul Kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman kejatuhannya. Ini bermakna skop penulisannya samada bersejarah atau tidak bersejarah berkenaan Raja-raja Melayu melingkupi masa hamper 103 tahun selepas portugis menakluki Melaka pada tahun 1511, tambahan pula semasa menulis Sejarah Melayu beliau berada dalam tawanan Acheh dan meninggal di Acheh[sudah pasti naratif penulisannya mengikut kehendak Raja Acheh].
Hikayat Hang Tuah pula tidak diketahui pengarangnya, ianya disebabkan kerana pengarangnya lebih menumpukan kepada kehebatan Hang Tuah semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, biarpun kadangkala kehebatan itu tidak dapat diterima oleh akal namun itulah sebenarnya kehebatan dan keindahan yang terdapat dalam sastera Melayu, sejarah Melayu sebenarnya tidak dapat lari dari unsur sastera yang mungkin bertujuan untuk lebih menimbulkan kesan agar lebih menarik. Pun begitu, masih terdapat unsur sejarah yang tinggi nilainya dan perlu kajian yang mendalam.
Di dalam bilik-bilik darjah, dewan-dewan kuliah atau seminar bermotifkan sejarah atau kajian sejarah hanya membincangkan tentang kepahlawanan, kebijaksanaan serta kesetiaan Hang Tuah. Kisah Hang Tuah yang diagung-agungkan ini telah menenggelamkan keadaan sebenar tentang asal keturunannya.
Mengikut kajian terkini, Hang Kasturi dan hang Jebat adalah orang yang sama. Menurut kajian tersebut, nama Hang kasturi kekal namanya di panggil orang sehinggalah saat dia menderhaka kepada Sultan. Setelah menderhaka barulah nama beliau ditukar kepada Hang Jebat kerana kononya nama seharum itu (Hang Kasturi) itu tidak layak diberi kepada orang yang menderhaka kepada Sultan.[kami juga(kumpulan 7) merasakan ada kebenaran fakta itu, kerana orang yang menderhaka[dalam skop yang lebih luas] boleh dianggap keparat. Malah jika dilihat dari unsur irama[orang zaman dulu suka berpantun] “Hang Jebat si keparat” iramanya sangat sesuai jika dibandingkan dengan Hang Kasturi si Keparat”.(ini Cuma pandangan kami sahaja). Selain itu terdapat juga pendapat bahawa Hang Lekir dan Hang Lekiu adalah orang yang sama. Fakta ini timbul berdasarkan; jika mengambil kira tulisan jawi digunakan untuk mengeja nama mereka, ianya kelihatan seakan-akan sama.[3]

ANTARA SEBAB TERJADINYA PERBEZAAN KETARA DALAM KARYA-KARYA SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT HANG TUAH MENGENAI KESULTANAN MELAYU MELAKA.

Menurut Winstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang mulai Febuari 1614 dan siap pada Januari 1615. Bermaksud Sejarah Melayu(Sulalatus Salatin) ditulis setelah 103 tahun Melaka ditakluk Portugis. Oleh itu adalah tidak mustahil jika berlaku tokok tambah atau penulisannya mengikut kehendak Sultan Acheh. Walauapapun bentuk tulisannya, Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang adalah rujukan utama dalam menulis semula Sejarah Melayu Moden. Orang Melayu[Malaysia amnya] seharusnya berbangga dengan pencapaian ini.
Selain itu, terdapat juga perbezaan fakta di antara penulis sejarah Melayu yang ditulis oleh ahli pengkaji sejarah dari barat. Penulis Barat yang menulis sejarah Melayu tidak menjadikan ‘Sejarah Melayu’(Karya Tun Sri Lanang) sebagai sumber rujukannya.
Hikayat Hang Tuah bukan ditulis pada masa hayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang itu sendiri juga tidak ditulis semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Penulisnya mengumpul cerita yang diambil secara lisan dari orang-orang tua. Sudah pasti, berlaku penambahan(tokok-tambah) dan perbezaan untuk melengkap naratif karangan penceritaannya.
Mengikut kertas kerja yang dihasilkan oleh Mohd. Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM dengan tajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan,’ cuma menyatakan bahawa sesuatu penghormatan, ketaatan atau kedudukan adalah diberi gelaran seperti Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Shahbandar dan Mandulika.
Mengikut buku ‘Sejarah Melayu’ edisi W.G. Shellabear penerbitan Malaya Publishing House Ltd. Singapore halaman 123-131, menyatakan tentang Tun Perpatih Putih, iaitu utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China telah membawa balik bersamanya seramai 500 orang dayang serta Puteri Hang Li Po. Sultan Mansur Shah dikatakan telah berkahwin dengan puteri dari China ini dan telah menghasilkan anak bernama Paduka Mamat.
Dalam edisi W.G Shellabear ini, yang menariknya adalah kemunculan nama Puteri Hang Li Po. Hasil perkahwinan ‘campur’ antara Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah telah dikurniakan seorang putera dan telah diberi nama Paduka Mamat [Nama Paduka Mamat adalah nama Melayu, tidak pula nama itu di tambah “Hang”(Paduka Hang Mamat) sebagai penghargaan kepada Puteri Hang Li Po]. Sejarah telah membuktikan bahawa nama-nama orang Cina kebiasaanya bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee bergantung kepada suku kaum mereka dan asal-usul wilayah mereka.
Edisi W.G Shellabear ini menyebabkan timbul pula hipotesis mengatakan Hang Tuah lima bersaudara itu bukan orang Melayu tetapi berketurunan Cina. Kajian ini mendapati, Jika dihubungkaitkan dengan nama Hang Tuah dari sebutan loghat Cina adalah berbunyi seperti Hang Too Ah. Nama Hang Jebat berbunyi Hang Jee Fatt, Hang Lekir pula seperti Hang Lee Ker, manakala Hang Lekiu seperti Hang Lee Kiew. Mengikut prosedur tentang suku kata nama bangsa atau keturunan Cina, biasanya cuma terdiri dari 3 suku kata sahaja. Nama Hang Kasturi pula diragui kerana 4 suku kata walaupun ia bermula dengan perkataan Hang. Perkataan Kasturi pula ada berbaurkan loghat bahasa Melayu.

Terdapat 3 andaian hasil kajian secara hipotesis yang dijalankan:-
1. Hang Kasturi adalah berbangsa Melayu tetapi bergaul rapat dengan anak cucu dari
rombongan puteri Hang Li Po.

2. Nama sebenarnya ialah Kasturi tetapi telah digelar Hang Kasturi oleh 4 orang rakan
Mungkin nama Cina sebenar Hang Kasturi sukar disebut oleh masyarakat tempatan. Oleh
itu mereka telah memberikannya nama baru mengikut loghat orang Melayu tempatan dan
nama ini telah diterima dengan baik oleh beliau.

Menurut Ong Hak Ching, Jabatan Sejarah UKM mengatakan bahawa Sultan Mansur Shah telah memberikan tempat kediaaman di Bukit Cina kepada puteri Hang Li Po serta 500 orang dayang-dayangnya. Anak-anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ juga bermakna golongan yang dilindungi. Sama ada yang sudah memeluk Islam atau masih memeluk agama asal mereka.
Terdapat 3 andaian secara hipotesis mengenai hal ini:-

1. Tidak kesemua dari anggota rombongan puteri Hang Li Po yang memeluk agama Islam.

2. Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker, Hang Lee Kiew, adalah keturunan dari
rombongan puteri Hang Li Po.

3. Keempat-empat sahabat ini kemudiannya telah memeluk agama Islam tetapi mengekalkan
sebutan nama mengikut loghat bahasa Melayu atas sebab-sebab tertentu, seperti Hang
Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Menurut Profesor Emeritus Khoo Kay Kim, tokoh sejarah ramai yang terkeliru bila menyatakan isu ini, yang mana kata nama 'hang' sebenarnya berasal daripada perkataan 'Han' seperti mana Han Li Po. Tapi, Prof Khoo menyatakan bahawa sebenarnya tidak pernah wujud pun nama 'Han Li Po' dalam sejarah. Malah bila kajian mendalam dibuat, ia hanyalah dongengan semata-mata. Maka, tidak timbul sebenarnya yang mereka(Hang Tuah Lima bersaudara) ini berasal dari China. Itu hanyalah rekaan semata-mata.
Mungkin kerana kekeliruan inilah menyebabkan Sejarah Hang Tuah Lima Bersaudara tidak lagi dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk muridn sekolah rendah kebangsaan tidak lagi dicetak bermula tahun 1999. Selain itu timbul pula cerita mengenai penyiasatan secara saintifik melalui DNA Hang Tuah(diambil dari kubur Hang Tuah di tanjung Kling Melaka). Keputusan DNA mengesahkan(melalui tulang-tulang Hang Tuah) beliau adalah berketurunan Cina dan bukan Melayu.
Berbalik kepada persoalan “siapa yang menderhaka kepada Sultan, percanggahan pendapat berlaku sejak dahulu lagi, Malah menjadi dilema kepada para pelajar kerana perbezaan fakta yang berlaku. Sepertimana kajian secara hipotesis ini meragukan tentang nama sebenar Hang Kasturi. Percanggahan pendapat ini berlaku antara pengarang ‘Sejarah Melayu’ dan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ mengenai siapa sebenarnya telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Pengarang Sejarah Melayu mengatakan Hang Kasturi manakala pengarang Hikayat Hang Tuah Pula mengatakan Hang Jebat. Perbezaan ini dapat dilihat melalui beberapa faktor seperti di bawah:-

1. Tersirat sesuatu hal yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh pahlawan ini
sehingga tidak ada satu kata sepakat di kalangan kedua pengarang serta pakar sejarah
lampau.

2. Pengarang ‘Sejarah Melayu’ telah menggunakan bahan dalam penulisannya secara
mengambil pendapat lisan dan tiada ada satu penyeledikan terperinci, kerana ia
menyentuh kisah-kisah yang terlalu luas serta hal-hal yang menyeluruh.

3. Pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ adalah lebih formal kerana menggunakan semacam
bentuk kajian sehingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara lebih detail.

Perbezaan ketara dalam karya-karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah ini juga disebabkan oleh versi-versi yang berbeza, iaitu dari Sejarah Melayu dan Kajian ahli Sejarah[4]. Antara perbezaan fakta atau cerita dalam karya-karya sejarah melayu dapat dilihat melalui persoalan seperti:-

1. Benarkah Parameswara dan Raja Iskandar adalah orang yang sama?
2. Siapakah yang membuka Melaka?
3. Bagaimanakah Parameswara sampai ke Melaka?
4. Adakah dia diserang oleh orang Siam atau Majapahit?

Bagi menjawab persoalan yang pertama, memang benar Raja Iskandar dan Parameswara adalah orang yang sama. Semasa Raja Iskandar jadi pelarian dan diburu, dia menggunakan nama samaran(Parameswara). Setelah keadaan selamat(Melaka wujud) dia telah menukar kembali namanya ke nama sebenarnya(Raja Iskandar Shah).

Ahli sejarah sependapat mengatakan Parameswara yang membuka Melaka. Pendapat ini disokong oleh D.G.E Hall dalam bukunya “ A History Of South-East-Asia”. Yang mengatakan parameswara ialah pengasas Kerajaan Melayu Melaka.

Sejarah yang mengatakan Parameswara berasal dari Pelembang lalu membuka Temasik(Singapura) dan membuka Melaka itu ditulis oleh Sejarah Barat berdasarkan cerita lisan dari Sumatera, sedangkan jika mengambil kira Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang, sumber faktanya diambil berdasarkan cerita lisan dari orang Melayu.

Sejarah lisan Sumatera mengatakan bahawa Parameswara ialah Putera Raja Sailendra dari Palembang, Beliau melarikan diri ke Temasik lalu membunuh Temagi(wakil kerajaan Siam yang memerintah Temasik, tentera Siam menyerang lalu beliau melarikan diri. Akan tetapi Sejarah Melayu pula mengatakan Temasik itu dibuka oleh Sang Nila Utama. Keturunan Sang Nila Utama inilah yang memerintah Temasik sehingga digantikan dengan Paduka Pikrama Wira Kerme kemudian digantikan oleh Paduka Seri Maharaja dan yang terakhir ialah Raja Iskandar Shah. Sejarah Melayu juga menceritakan Raja Iskandar Shah yang memerintah Singapura melarikan diri apabila diserang oleh tentera Majapahit akibat pembelotan oleh Sang Rajuna Tapa. Raja Iskandar Shah(Parameswara) telah memerintah Melaka dari tahun 1390-1414.

Perbezaan karya-karya sejarah dan hikayat Hang tuah mengenai Kesultanan Melayu Melaka. Perbezaan ini juga menyebabkan timbul persoalan besar yang ditimbulkan ramai pengkaji sejarah tempatan sama ada di kalangan rakyat biasa atau tokoh akademik sedangkan bukti nyata atau fizikal tidak menyokong kemegahan zaman kesultanan yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Di Melaka saja, yang menjadi lokasi zaman kegemilangan Sultan Melaka pada kurun ke-13 dan 14, tiada satu kubur atau makam sultan yang memerintah Melaka wujud begitu juga dengan beberapa pembesar atau orang kenamaan lain yang terkenal. Begitu juga ketiadaan monumen lain seperti tapak asal istana sultan dan barangan kebesarannya yang penting sebagai bukti sejarah. Apa yang ada di Melaka hanya peninggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sedangkan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Melaka boleh dikatakan tiada langsung.

Menurut Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Datuk Khoo Kay Kim, beliau berpendapat walaupun ada Hikayat Hang Tuah yang boleh dirujuk tetapi naskhah itu tidak dianggap ‘historiografi’ yang tepat kerana digarap dalam pelbagai versi yang sukar ditentukan versi mana yang dijadikan rujukan tepat kepada pengkaji sejarah.

Menurutnya lagi, sudah banyak kajian dibuat mengenai Hang Tuah dan sejarah kesultanan Melayu Melaka oleh tokoh akademik dan sejarah tetapi kebanyakan kajian itu tidak pernah menemui bukti tepat serta sahih. “Dalam dokumen China juga tidak mencatat nama Hang Tuah sebaliknya hanya Laksamana,” katanya.

Menjadi satu kerugian kepada bangsa Melayu kerana tidak gemar mendokumentasi bahan sejarah yang ada. Perkara ini menyebabkan apabila runtuh sesuatu kerajaan atau ditakluk negara lain, sejarah yang ada terus berkubur begitu sahaja.


PENUTUP

Bidang pengkajian Sejarah Melayu sebenarnya harus di kaji dari dua sudut yang berbeza. Iaitu
· Sejarah Melayu dengan unsur Sejarahnya
· Sejarah Melayu dengan bukan unsur Sejarah iaitu unsur sastera.
kerana apabila mengkaji Sejarah Melayu kita tidak dapat lari dari unsur-unsur sastera. Apabila mengatakan mengenai sastera sudah pasti unsur-unsur naratif seperti plot dan tema wujud bagi mengindahkan sesuatu cerita.

Kita tidak dapat lari dari fakta bahawa sejarah Melayu bukanlah merupakan sebuah rujukan yang tepat. Namun sekiranya isi kandungannya dikaji sudahpasti ia menjadi satu sumber yang bernilai. Secara keseluruhannya, Sejarah Melayu merupakan sebuah berunsur mitos dan lagenda seperti kisah-kisah “Hikayat Hang Tuah, Keris laksamana Bentan, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Hang Nadim. Walaupun yang demikian, satu fakta yang harus kita sedar ialah terdapat unsur sejarah di dalamnya.

Sebenarnya Sejarah Melayu belumlah terlalu lama sekiranya kita mulai dari Sejarah Melaka itu sendiri pada tahun 1400[walaupun sebenarnya tarikh pembukaan Melaka yang sebenarnya belum terdapat tarikh sebenar]. Namun jika dihitung bermula dari tarikh itu ianya baru menjangkau usia 600 tahun yang lalu.

Usaha-usaha yang dibuat atau sedang di buat oleh pihak yang bertauliah dalam pengkajian Sejarah Melayu, rakyat Malaysia[para pelajar sekolah menengah dan Universiti malah di sekolah rendah juga] harus didedahkan dengan kebenaran fakta dan yang paling penting adalah keseragaman fakta agar tidak lagi timbul perbezaan sehingga menimbulkan persoalan di kalangan rakyat dan para pelajar amnya.

Kajian yang mendalam dan terperinci serta keseragaman fakta ini sangat penting, agar dapat memelihara warisan sejarah Negara. Sesebuah Negara bangsa itu dinilai dari sejarah dan asal-usulnya. Kita tidak ingin warisan sejarah Melayu itu dilesap dari buku sejarah anak-anak Malaysia generasi akan datang.
footnote

[1] Dulu dikenali sebagai Sulalatus Salatin(Perteturan Segala Raja-Raja) Sejarah Melayu pada tahun 1612
[2]Tun Sri Lanang atau nama sebenarnya Tun Muhammad dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada
tahun 1565. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615.
[3]Memetik petikan teks(fakta di ambil dari penulis blog Maswafi Abd Samat, Kuala Lumpur. Pengajian
Melayu. Maswafi.blogspot.com
[4] Abdul Latip Talib (latiptalib.blogspot.com/ Novelis Sejarah):Sejarah Melayu/Tun Sri Lanang.

No comments:

Post a Comment